Pemberitahuan..

Saya tidak pandai memasak tapi saya cuba untuk belajar.. Resepi kat dalam blog ini ada yang saya buat sendiri, ada juga resepi family, resepi dari kawan-kawan, resepi dari majalah, dan ada yang saya ambil daripada blog dan website lain.. Saya minta maaf jika tidak ada link yang diletakkan bersama dengan resepi kerana saya tiada kemahiran dalam bidang IT di awal penubuhan blog ini.. Cuma baru sekarang ini saya tau serba sedikit caranya.. Maaf sekali lagi..

Apapun, terima kasih di atas segala perkongsian semua resepi tersebut.. Moga Allah memberkati serta merahmati kalian.. Aamiin...

Thursday, July 15, 2010

LAKSA PENANG

Assalamualaikum....

Semalam saya buat laksa penang ni... Memandangkan omak dah rebus ikan, maka kena la saya sambung tugas tu kann... hehehe...


Bahan-bahan kuah:

1 kilo ikan kembung
6 ulas bawang merah (dikisar)
2 ulas bawang putih (dikisar)
4 senduk cili boh (cili kering blended-ikut kepedasan masing2)
2 tangkai bunga kantan (dipotong 4)
1 genggam daun kesum
1 genggam asam keping
sedikit garam dan perasa

Cara-caranya:

1) Ikan dibuang perutnya sahaja. Bersihkan dan rebus dengan sedikit garam dan asam keping. Biarkan sejuk seketika.

2) Asingkan isi ikan dan tulangnya. Tapiskan air rebusan tadi dan masukkan ke dalam periuk.

3) Kisar isi ikan dengan sedikit air sehingga hancur. Masukkan ke dalam periuk tadi.

4) Kisar pula tulang-tulang ikan sehingga hancur. Tapiskan dan masukkan ke dalam periuk. Kisar lagi untuk kali kedua dan ketiga.

5) Selepas itu barulah dimasukkan bawang merah, bawang putih, cili boh, daun kesum. bunga kantan dan asam keping lagi sekali. Masak dengan api yang sederhana.

6) Bila sudah mendidih, masukkan pula garam dan serbuk perasa (jika suka). Kacau dan rasa kuah tu.

7) Pastikan cili boh benar-benar masak sebelum tutup api.


Bahan-bahan hidangan:

1 bungkus laksa kering(direbus sehingga empuk)
4 biji telur (direbus-belah dua)
1 biji timun (dihiris kecil)
2 labu bawang besar (dihiris nipis)
4 biji cili merah (dihiris halus)
6 biji limau kasturi atau limau nipis
sedikit daun salad (dihiris halus-jika suka)

Tuesday, July 13, 2010

APAM @ MUFFIN PISANG COKLAT

Assalamualaikum...

Belum pernah buat lagi resepi ni. Hari tu dah nak buat dah, tup-tup tepung takde. Pastu bila dah beli tepung, pisangnya pulak dah kena goreng dek mak saya.... Apapun, siapa yang nak cuba, buat la dulu ya. Resepi ni saya dah lupa ambil kat mana... Sorry... =D

Bahan-bahan A: (semua bahan diayak bersama)

2 cawan tepung gandum
2 sudu besar serbuk koko (van houten)
1 sudu kecil soda bikarbonate
1 sudu kecil baking powder
sedikit garam

Bahan-bahan B:

1 cawan pisang emas/berangan yang sudah dilenyek (pisang berangan gunakan 5 biji)
1 cawan minyak masak
1 1/2 cawan gula perang
2 biji telur (dipukul sedikit)

Cara-caranya:

1) Masukkan kesemua bahan B ke dalam bahan A. Kacau rata/sebati.

2) Masukkan adunan ke dalam acuan kecil atau loyang ataupun mangkuk muffin.

3) Kukus selama lebih kurang 30 minit atau sehingga masak.


Terkini: Saya dah cuba buat resepi ni, tapi tak berapa nak jadi. Yang atas elok je naik tapi bahagian bawah macam bantat. Mungkin masa kukus selama 30 minit tu tak mencukupi dan perlu tambah masa lagi...

Monday, July 12, 2010

KUIH GELANG/KERIA

Assalamualaikum....

Kali ni jom kita buat kuih gelang ni. Ada orang panggil kuih keria. Tapi saya panggil kuih gelang sebab rupa dia macam gelang blingbling... hehehe..

Bahan-bahannya:

4 ketul ubi keledek sederhana besar
sedikit tepung gandum
sedikit garam
1 cawan air
1 cawan gula pasir

Adunan yang telah siap digentel...

Cara-caranya:

1) Ubi keledek dibuang kulitnya. Kemudian dibersihkan dan dipotong kecil.

2) Rebus ubi keledek tadi dengan sedikit garam sehingga benar-benar empuk.

3) Bila ubi dah cukup empuk, toskan airnya dan lenyek sehingga lumat.

4) Masukkan tepung gandum sedikit demi sedikit.

5) Adun adunan sehingga benar-benar sebati dan tidak melekat di jari. Tepung jangan banyak sangat, takut nanti kuih keras.

6) Kemudian bentukkan bulat-bulat dan buatlah lubang di tengahnya.

7) Goreng dengan api yang sederhana sehingga kekuningan. Angkat dan toskan.

Kuih yang telah siap disira...

Cara membuat sira gula:

1) Masukkan 1 cawan air bersama dengan 1 cawan gula ke dalam kuali.

2) Masak dengan api yang sederhana besar sehingga gula berbuih-buih dan menjadi sedikit pekat (anggaran tinggal 1/4 cawan saja).

3) Selepas itu barulah dimasukkan kuih keria yang telah digoreng tadi. Gaul dan kaup rata supaya sira gula sebati.

4) Api kenalah perlahan supaya sira gula tak hangus. Kaup-kaup kuih tu sehingga gula mula mengering. Selepas tu, barulah matikan api dapur.

Tips: Pastikan jangan sira dengan air gula yang masih cair, kerana nanti siranya lembik dan melekit.